Wednesday, October 27, 2010

~ KiSaH KiTa ~


Kata pujangga perempuan bagaikan angin
lembutnya melenakan ributnya menggusarkan.

Adakalanya mereka seperti ibu
menyaji kasih, menghidang sayang
adakalanya mereka seperti anak
ingin dibelai, minta dimanjakan
adakalanya mereka seperti nenek
berleter seadanya, merungut semahuannya.

Namun,
teman kembara dalam kehidupan yang sementara ini.
bahagia dan derita sangat berkait dengan mereka.

Psst....
Tiba-tiba pasanganmumu merajuk
pandai-pandailah memujuk
buka telinga, tajamkan pendengaran,amati suaranya
teliti dengan hati yang terseni
rasional atau emosi ?
andainya emosi, belailah emosi itu
jangan cuba dihadapkan secara rasional
kerana sidia tak akan terdaya
mengunyah hujah,berilah walau seribu sebab
lengkap dengan perangkaan statistik
atau dokumen saintifik
berserta dengan beberapa affidavit
dia tetap melulu kerana fikiran sudah berjerebu.
Dalam situasi ini
fikiran telah ditawan perasaan
sebaiknya, perhaluskan kata, perindahkan bahasa
jinakkan perasaan, hadiahkan senyuman.

Masih gagal ?
cuba gunakan sentuhan
semarakkan belaian.
Masih gagal juga ?
Tunggu saja rajuknya reda
emosi pasanganmu
bagai riak-riak air dalam cawan
jangan digoncang...... buat selamba
lambat laun, gelombang akan tenang
air dicawan akan diminum jua.

Tapi awas.....
kalau ternyata, rajuknya berfakta
masamnya berdata, geramnya berilmiah
marahnya ada prima facie
ini rajuk taraf tinggi namanya
perlu ditangani berhati-hati
kalau ternyata benar,apa salahnya diterima
mengaku lalu berjanji serta berikrar
" Sayang demi kasihku tak ulangi lagi "
katakan " Sayang....diriku alpa "
bisikkan " Darling.. I lupa.."
hulurkan tangan, pinta kemaafan
pendekatan kasanova dan miang, tetapi hati suci

Rajuk pasanganmu seperti mangga muda
perisanya masam
tetapi...
kalau kena cicahnya enaknya akan terasa.
ingat, api yang panas, padam oleh salji yang dingin.

Arghh...
tiba-tiba pasanganmu merungut
malah kadangkala agak mengugut
minta aksesori serta perabut
minta Villa yang tersergam indah
atau mahligai di lereng bukit
sedangkan dikau bukan Shah Jehan
yang mampu membina Taj Mahal buat isterinya
tetapi pasanganmu pula, persis Nur Jehan
yang meminta petanda keagungan cintanya
Katanya " Seabadi permata.... segermelapan intan " ...
sedangkan ditangan kau cuma cincin tembaga.

Aduh...
peritnya mengukur cinta
dalam ukuran mayam atau menimbang setia
menerusi Bursa Saham papan utama
kasih pasangnmu, turun naik
mengikut kadar tukaran wang asing.

Tiada guna menyesali diri
diakan dulu pilihan kau ?
semasa mekarnya
dia dihargai, dipuja-puji
dia kini sudah menjadi ibu/bapa
pada anak-anakmu..
sudah takdir...
permata yang dipilih
perlu digilap semula.

Namun
putus asa jangan sekali
terimalah dia, dengan redha.
justeru pasanganmu pada hakikatnya
adalah bayang-bayang dirimu
wanita adalah tulang rusuk yang bengkok
luruskan dengan berhati-hati bertegas tapi jangan
berkeras lembut tapi jangan reput.

Katakan RM bukan segala-galanya
lalu pada saat yang kudus
setelah bersolat bersama
bisikkanlah " Duhai kasihku...
marilah kita bina perkahwinan ini
dengan cinta yang sejati marilah kita kutip rezeki
dengan keringat tersuci kita cari harta,
tetapi itu bukan segala-galanya
padamu kasihku,
istanamu, di hati ini
padamu sayang kalung cintamu, di jiwa ini."

Puuuh...
Akan tiba masanya bila 'pasanganmu' di hati tapi kurang di mata
usia meningkat kecantikan/kekacakkan tergugat
dulu yang dirimu lihat mulus/hensem kini beransur pupus
betis, tidak lagi bunting padi,wajah tiada lagi umpama Tom cruise
pipi, bukan lagi pauh dilayang, abdomennya tidak lagi berketak2
apakah dengan itu akan berkurang cinta dikau ?
jika berkurang, nyatalah cinta dirimu
selama ini cinta di mata bertapak di body
tapi jika cinta tetap kekal malah semakin bertambah
ertinya cinta dirimu di hati, berpasak di budi.
itulah cinta sejati.

Namun tidak salah....
di samping menyanjung budi,
dirimu merampingkan 'body'
kalau ada kesempatan
ajaklah dia bersenam, amalkan puasa sunat
tapi ingat niat kerana Tuhan
bukan kerana ingin kuruskan badan
tapi Tuhan Maha Penyayang
DIA pasti membantu pasanganmu yang memburu keredhaan pasangannya
tak salah kalau mohon kesihatan, kecantikan dan kecergasan
sama-samalah merampingkan badan
yang terlebih dikurangkan
jangan sesekali mencemuh apalagi menjauh
apa gunanya membandingkan pasanganmu dengan perawan/teruna.

Bukan masanya lagi merenung dara/uda
tapi kini saat menghitung dosa
lalu ajaklah pasanganmu sama-sama menambah bakti
moga-moga cinta kalian kekal ke hujung usia
di dunia ini dan di akhirat nanti
itulah yang dikatakan
hidup berdua, 'selepas' mati pun bersama.

Uhhh....
Kekadang pasanganmu mengamuk
dengan ombak prasangka dan taufan cemburu

Apa bukti setiamu kasihku?
Apakah tandanya hanya aku di hatimu ?
kekadang disergahnya dirimu
ketika keringat masih membasah
baru menjengah pintu rumah.
Ketika itu nilailah dirimu sendiri.....
mungkin dirimu berdosa dengan Tuhan
atau bersalah dengan insan
mungkin banyak kezaliman dan penganiayaan
yang telah dilakukan
Lalu datang teguran, amaran dan peringatan
secara 'indirect' dari Tuhan
hadapkanlah diri ke cermin hati
kaji diri satu persatu
kalau liar, berhentilah
kalau berdosa, bertaubatlah

Sebaliknya jika ternyata pasanganmu yang melulu
nasihatkanlah baik-baik, bukan senang nak senang
ingatlah mustika kata dalam kitab-kitab tua
pasangan yang bersabar dengan kekasihnya yang jahat
akan mendapat pahala Nabi Ayub
atau ingatlah pesan Sayidina Umar al-Khattab
ketika didatangi seorang suami yang dileteri isteri :

" Bersabarlah, kerana sesungguhnya isteri telah banyak
membantu dirimu. Dia yang menyelamatkan dirimu daripada amukan nafsu.
Dia yang membantu menjaga makan minum dirimu.
Dia yang mencuci kain baju dirimu
Dia yang membantu membersihkan rumah ...
lalu apa salahnya dirimu bersabar dengan sedikit kerenahnya ? "

Marilah sama-sama kalian tabur secubit salji pada segenggam api.
Telah banyak kita dengar cerita keruntuhan, kisah perpisahan.
Marilah suburkan kembali pohon perhubungan ini
walaupun sudah berdekad-dekad usianya.

Institusi ini adalah kubu terakhir kita.
Marilah kita pertahankan bersama si dia.
si dia ku, si dia mu
cinta kalian jangan mati dalam arus dunia siber,
biar setia kalian makin waja.
Biarlah skrin-skrin internet atau inranet memaparkan
yang indah-indah pantulan seri perhubungan kalian.

Bicara ini diakhiri dengan satu coretan
yang mungkin boleh diguriskan pada kad hari lahir
pasanganmu atau kad ulang tahun perhubungan kalian
atau surat biru yang ingin kau utuskan padanya...

Atau kau pahatkan saja di halaman hatimu
pada malam nanti :
Aku hanya seorang kekasihmu
yang menerima setulus hati seorang kekasihku.
Janji yang termeterai di perhubungan kita musim yang lalu.
Salam kuhulur buat menyapa hatimu nan luhur.
Bersamalah kita harungi derita yang datang.
Bersatulah kita tempuhi nikmat yang bertandang.
Denai perhubungan ini pasti dihujani air mata.
Biar kita rasa: rupanya syurga itu sangat tinggi maharnya.

kekasihku...
tidak kutagih setia, sesetia Adam/Hawa.
Atau kerinduan menggila Laila/majnun
yang sangat dalam.
Terimalah kehadiranku
di sudut tersuci di dalam hatimu......